Ahad, 14 Oktober 2012

PRINSIP KERJA X-PLUS (Pengurusan dalam Transformasi Pendidikan)

 Tajuk perbincangan saya kali ini ialah PRINSIP KERJA X-PLUS. Walaupun tajuk ini bukanlah tajuk baharu namun saya ingin mengulas dan berkongsi maklumat yang baru sahaja dikumpulkan untuk penulisan kali ini.

       Saya terpanggil untuk meneliti maklumat berkaitan cara pengurusan berkualiti dan akhirnya saya membuat keputusan untuk membincangakan tajuk ini. Walaupun sebenarnya Prinsip kerja ini bersasaran pada tahun 2010-2012 sepertimana perancangan awal namun saya berasakan bahawa prinsip kerja ini sangat relevan untuk tahun-tahun  yang akan datang bersesuaian dengan tujuan asalnya untuk merealisasikan agenda tranformasi Negara iaitu Transformasi melalui pendidikan.

         Setiap pasukan profesionalisme pendidikan dan semua pegawai pendidikan pelbagai peringkat perlu menerapkan budaya prestasi tinggi berasaskan PRINSIP KERJA X-PLUS. Prinsip ini merupakan sesuatu yang perlu ditekankan oleh golongan profesional era GTP(Pelan Transformasi Kerajaan) terutama dalam bidang pendidikan yang sekarang ini menjadikan keutamaan untuk berubah dan dibangunakan; juga berkaitan rapat dengan ETP (Pelan Transformasi Ekonomi). Prinsip ini memaksimumkan impak penyampaian perkhidmatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras tinggi atau cemerlang (Excellence) berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat berpasukan.

        Kepemimpinan sebenar ditonjolkan melalui sikap keikhlasan, jujur, amanah, sidiq dan fatanah dan ciri-ciri kepemimpinan itu seterusnya diperlihatkan atau diterjemah melalui perlakuan kerja dan tindakan termasuk merealisasikan melalui keputusan.

         Prinsip Kerja X-Plus dicetuskan dan dijenamakan oleh Y.Bhg. Tan Sri Abd.Ghaffar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia perlu diamalkan secara berterusan dan diserapkan dalam budaya kerja agar menerajui legasi kecemerlangan KPM yang sentiasa akan meningkat, mantap dan diperteguh secara berterusan. Antara objektif berikut:
1.  Dapat menerapkan budaya prestasi tinggi
2.  Dapat merekayasakan (pengengginer), (penerapan) unsur ilmu dalam perancangan dan
      mekanisma kerja sebagai asas
3.  Dapat meneroka inisiatif (prakarsa) baharu
4.  Dapat menginovasi program bagi melengkapi program berinteraktifkan kecemerlangan
     dan pembangunan

KAYU UKUR KEBERHASILAN KERJA

Prinsip Pertama : CEMERLANG (EXCELLENCE)
     Inilah kayu ukur keberhasilan kerja setiap individu. Cemerlang atau excellence berbeza dengan kualiti. Kualiti bermaksud memenuhi kehendak pelanggan, yakni menepati ketetapan kerja, mematuhi tuntutan perkhidmatan, mengikuti sepenuhnya perencanaan dan strategi, menyempurnakan tugasan pegawai atasan, dan mencapai sasaran kerja tahunan. Walhal cemerlang bermaksud 'go beyond', yakni memenuhi kehendak yang tidak terungkap oleh pelanggan, menangani cabaran yang belum tiba, dan melepasi rekod sedia ada. Cemerlang bermakna melepasi aras kualiti, melepas pencapaian terbaik sebelum ini, mewujudkan aras pencapaian baharu untuk dikejar oleh pesaing.
     Cemerlang dalam konteks berfikir dan meneroka pelbagai pilihan penyelesaian bererti "think the unthinkable" dan "reasson the unreasonable". Halangan kecemerlangan ialah batasan kemahuan dan batasan imaginasi. "Every school is a good school, tiada sekolah kecuali yang terbaik". Inilah tuntutan rakyat kepada Kerajaan dan Kerajaan mengamanahkan tanggungjawab ini kepada jentera pendidikan negara.

Prinsip Kedua : PENGETAHUAN
     Faktor utama produktiviti bukan lagi bilangan pekerja, teknologi dan peruntukan yang banyak, faktor utama produktiviti ialah maklumat dan pengetahuan. Cara bekerja, cara mengajar dan cara mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam era ini bukan lagi sesuatu yang rutin, berulang-ulang dan rigid, tetapi sarat dengan kepelbagaian cara dan gaya, tidak berulang-ulang, mencabar daya upaya setiap orang dalam menggunakan kebijaksanaan, budi bicara, penilaian dan pertimbangan. pemimpin dan pengurus tidak lagi semata-mata mentadbir tetapi memudah cara, menyelaras, dan mempertalikan setiap pasukan kerja dalam organisasi.
       Pemimpin dan pengurus sewajarnya memiliki spektrum (julat atau lingkungan sesuatu perkara) pengetahuan yang luas, berkemahiran menatarkan maklumat yang  dijana oleh setiap pasukan kerja, dan berkemahiran sebagai mediator (perantara atau orang tengah dan moderator.

     Maka urusan memimpin, mengurus, merancang, melaksana dan memantau wajiblah berasaskan pengetahuan (knowledge-based) bukan berpandukan kebiasaan atau mengikut rutin atau memenuhi kepentingan diri sendiri. Demikian juga berfikir, bercakap, menulis dan bertingkah laku hendaklah berasaskan pengetahuan, bukan berpandukan perasaan, emosi, kebiasaan dan ketaksuban. Pekerjaan mendidik, melatih, mengasuh, membimbing, mengajar dan menilai mestilah berdasarkan pengetahuan, bukan kebiasaan atau rutin. (Tahu organisasi transformasi daripada  sistem birokrasi kepada  Adhokrasi)

Prinsip Ketiga : LATIHAN 

     Latihan bermaksud belajar sepanjang hayat untuk mempertajam keupayaan melaksanakan tanggungjawab semasa dan mempersiap keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar. Latihan bermakna bina upaya yang berterusan, bukan sekadar memenuhi ketetapan perkhidmatan. Latihan bererti bersedia untuk berubah, bersedia untuk melaksanakan idea baharu, bersedia untuk menggunakan cara gaya baharu dalam menyempurnakan tanggungjawab, bersedia menjayakan transformasi.

Aspek ini perlu ada 3 unsur:
a.  Unsur latihan yang menjurus kepada tugas dan
     tanggungjawab semasa,
b.  Unsur pendidikan yang bertanggungjawab untuk
     menyediakan anggota profesional pendidikan
     untuk menangani cabaran yang lebih besan dan memikul
     tanggungjawab yang lebih berat pada masa  hadapan
c.  Unsur pembangunan yang bertanggungjawab yang sentiasa bersedia untuk menyediakan
     pendidikan dan pegawai pendidik yang bersedia untuk belajar, sentiasa bersedia untuk
     menerimA dan melaksanakan perubahan, idea baharu serta sentiasa peka

   Inilah cabaran L bahawa hasil akhirnya dengan latihan ini semua pendidikan dan pegawai pendidikan dapat mempamerkan karektor juara perubahan.

Prinsip Keempat : USAHA 

         Usaha berbeza dengan kerja. Usaha bermaksud berikhtiar seupaya mungkin dengan menggunakan pelbagai sudut pemikiran, sumber dan kreativiti dan inovasi demi menyempurnakan misi dan mencapai objektif.
         Usaha bermaksud "go extra mile". Sedangkan 'kerja' bermaksud melaksanakan tugas sebagaimana yang ditetapkan atau diarahkan. Kerja mengutamakan kepatuhan kepada arahan.
      Usaha mengutamakan matlamat dan objektif. Ukuran kerja ialah kecekapan. Ukuran usaha ialah keberkesanan.
 
     Kecukupan USAHA dan KESUNGGUHAN BERIKHTIAR = DAYA FIKIR BERKEMBANG IMAGINASI TERANG, KREATIVITI BERTANDANG MATLAMAT DAN KREATIVITI JADI KENYATAAN       
          Kurikulum  yang ada elok namun gagal untuk melahirkan lulusan dan kreatif kerana TIADA HOT (Higher Order Thinking Skill) (3PM -11 anjakan: anjakan 1 80%). Kita perlu melihat matlamat sukatan pelajaran ialah PEMBELAJARAN KE ARAH KEMAJUAN.

       Guru dan ketua guru perlu melihat sukatan pelajaran dari sudut pembelajaran. Demikian juga matlamat murid menghadiri persekolahan. Murid ingin belajar dan berubah ke arah kemajuan, bukan untuk membantu guru dan ketua guru menghabiskan sukatan pelajaran. Usaha menuntut pendidik dan pegawai pendidikan berfikir. Dengan kecukupan usaha, dengan kesungguhan berikhtiar, daya fikir akan berkembang, imaginasi menjadi terang dan kreativiti akan bertandang - matlamat dan objektif menjadi kenyataan.

       Inilah cabaran U bahawa semua pendidikan dan pegawai pendidikan dapat menghasilkann ukuran kerja mereka iaitu kecekapan dan ukuran usaha melahirkan keberkesanan . Menuntut pegawai berfikir.

Prinsip Kelima : SEPASUKAN
     Sepasukan bermaksud komited kepada nilai, visi, misi dan matlamat organisasi dan mengetepikan kepentingan diri dan perasaan peribadi. Ciri kepimpinan wajib sentiasa terpamer dan dipraktikkan oleh setiap orang. Bekerja semagat sepasukan menuntut kehadiran altruisme dalam pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi. Altruisme menjamin keakraban anggota pasukan kepada misi organisasi dan organisasi pula mampu menjana kesejahteraan kepada setiap anggota kumpulan; yakni menuntut aplikasi kepimpinan pada setiap mata rantai tindakan.

     Tanggungjawab pemimpin sekolah adalah untuk mencegah fenomena "alienated labor", pemencilan guru dan pemencilan pekerja sekolah daripada visi, misi dan objektif kewujudan sekolah sebagai institusi pembelajaran. Bekerja sebagai satu pasukan juga mengizinkan penyuburan pengurusan kendiri atau swaurus (self-management). Individu profesional menerima tanggungjawab dan mengambil inisiatif, mengawal dan memantau pekerjaannya, dan menjadikan pengurus dan peenyelianya sebagai mentor dan fasilitator.

        Sandaran pengurusan kendiri ialah setiap profesional memiliki kompetensi, keyakinan diri dan kebolehan berdikari. Dengan demikian, profesional akan bekerja dengan lebih cekap dan berusaha dengan lebih gigih sekiranya mereka diberikan ruang dan kepercayaan mengurus diri sendiri.
            Cabaran ini mengharapkan  bahawa mematlamatkan semangat sepasukan yang menghasilkan atau menatijahkan kerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan.

            Prinsip Kerja X-PLUS membudayakan sistem kerja yang sangat mudah dipraktik dan berkesan sejajar dengan pemahaman yang telus dalam semua aspek prinsip yang dibincangkan. Unjuran kepada prinsip yang diaplikasi ini memungkin keberhasilan utama negara dalam sistem pendidikan negara akan lebih terserlah dan berjaya melepasi target yang sebenarnya. Kita semua berubah dengan merealisasikan saranan KPPM ini dengan melakukan anjakan paradigma untuk membolehkan pembinaan modal insan berminda kelas pertama dan berpendapatan tinggi pada tahun 2025 kelak. Budaya X-PLUS perlu dibangunankan dalam kalangan profesionalisme iaitu dalam kalangan guru dengan guru dan yang lebih penting adalah antara Guru dan murid. Dalam Prinsip Kerja X-PLUS setiap prinsip digarap dengan baik akan menghasilkan matlamat yang diharapkan.

           Setakat ini perbincangan hari ini yang dapat saya kongsikan bersama-sama dengan para pendidik terutama warga bidang Bahasa Sekolah Agama Menengah Rawang ini agar bermanafaat dan dapat dibudayakan dalam bidang kerja kita bersama.

HJH. NORHASIMAH BT. HJ. HASSAN
GKMP Bahasa 
SAM. Rawang, Sel 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan