Selasa, 22 Oktober 2013

SELAMAT DATANG UNTUK MENERAJUI KE ASPIRASI YANG LEBIH CEMERLANG...

Yang patah akan tumbuh,
Yang hilang akan berganti...

           Sudah menjadi lumrah kehidupan setiap pertemuan pasti ada perpisahan dan diganti dengan pertemuan demi pertemuan. Begitu juga dengan perpindahan mantan Pengetua Tn.Hj Mohd Zainul Arifien bin Mohd Jaid yang kini telah berganti dengan seorang individu yang tidak kurang hebatnya..

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban bikum...

Tuan Haji Mohamad Noor bin Ismail,
Pengetua baharu yang akan menerajui SAM Rawang ini seterusnya...
Pengetua lelaki yang kelima memimpin SAMER dan semoga tuan akan dapat memimpin kami ke arah yang lebih cemerlang insyaallah..


Jika melurut batang lintabung,
pisau raut pastikan tajam;
Semoga tautan kian bersambung,
Ukhwah murni semakin dalam.

Sirih berlipat di dalam puan,
Buat menyambut tamu terbilang;
Selamat datang buatmu tuan,
Mendukung visi misi cemerlang.

Puas sudah menenun songket,
cita bertaut merapi tekat;
Semoga hati-hati kita sering berkait,
Mesra berteman semakin erat.
 

Jika tuan hendak ke bendang,
Carikan kami si ikan sepat;
andai jika SAMER bukan terbilang,
Hadirnya tuan menambah berkat.
(Insyaallah)


Jauh-jauh ke hujung sungai,
banyaknya ikan dapat dipukat;
kami pasti banyak perangai,
Semoga sabar tuan dalam nasihat.


Kalau hendak memetik bunga,
pilihlah mawar buat jambangan;
hadirnya tuan kami gembira,
Bimbinglah kami sanjung kecemerlangan.



Jangan dipetik si mangga muda,
rajuk pohonnya tidak berbunga;
semoga kita akan sentiasa bersama,
tunai amanah dalam suka dan duka.

penuh raga berisi buah,
niat diberi kepada tetangga;
kami sungguh berasa bertuah..
sudinya tuan menjadi nakhoda.

Semoga perjalanan yang akan sama-sama dilalui oleh warga SAM. Rawang akan lebih pantas, teratur dan lancar menuju keterbilangan pada masa-masa akan datang.. Semoga Tuan Hj Mohamad Noor bin Ismail akan sentiasa berwibawa dalam melaksanakan kepemimpinan di bumi tarbiyah ini.. Insyaallah..

Rabu, 18 September 2013

SEMOGA TERUS MELANGKAH... MENJANA KECEMERLANGAN UMMAH...

Belum pun sempat untuk mencatat apa-apa info, laman ini sudahpun diterbitkan.  Sama ada secara sengaja atau tidak, sesuatu itu berlaku kadang kala diluar perancangan kita.  Inilah kebetulan yang secara tidak sedar berlaku dalam hidup kita. Adakalanya kita terlalu menyukainya tetapi Allah mengambilnya kembali dalam tempoh masa yang singkat.. Pasti ada hikmahnya di sebalik setiap yang berlaku kini..

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud :
" Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu... dan  boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."


        Ketika dalam Mesyuarat Agong PIBG awal tahun ini, beliau yang baharu dua bulan di Sekolah Agama Menengah Rawang ini ada berkata : "......... Saya masih baru di sini dan amat selesa dan menyenangi SAMER ini.. Mungkin saya hanya akan berada di sini setahun atau dua tahun... tetapi saya berasa mungkin saya ingin berpencen di sini..."

        Mendengarkan kata-kata itu saya, GKMP Bahasa ini tersenyum sendiri. Adakah secepat itu beliau berasa kasih dan sayang akan sekolah ini.
  
        Beberapa waktu selepas itu, ketika beliau mengalami beberapa ujian, beliau pernah menyuarakan rasa hatinya : ".... saya selalu tidak sihat, mungkin ada yang tidak suka akan saya ini, atau ada yang mengharapkan saya cepat pergi dari sini...". Walaupun secara gurauan beliau menuturkannya, tiada pula mustahil doa itu Allah makbulkan akhirnya...
  
         Hari ini saya menyusun catatan ini, beliau tidak hadir ke sekolah ini kerana beliau sudah menggalas tanggungjawab yang lebih berat di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Klang sebagai Pengetua yang baharu di sana. Kami bakal dan sebenarnya sudah ditinggalkan oleh seorang Pengetua yang begitu berwibawa dan berkarisma. 

          Umpama ibu yang hamil, sedang menanti saat-saat melahirkan ini...tempoh singkat lebih kurang sembilan bulan itu mengubah banyak perkara di SAMER. Betapa berat sekalipun hati kami, warga SAMER melepaskannya, kami perlu reda akan ketentuan Allah... kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat semua..

           Doa kami sentiasa mengiringi perjalanan yang bakal dilalui oleh Tuan Haji Mohd Zainul Ariffien bin Mohd Jaid.. Mantan Pengetua yang mendapat tempat dalam hati semua warga SAMER ini..


Jika hendak melurut buluh,
lurut dengan pisau yang tajam;
Jika diikut hati yang luluh,
Ujian yang ada terasa kejam...

Cukup sudah menampi padi,
Padi huma tanaman tuan;
Cukup reda membiarmu pergi,
Tarbiahmu dijadikan panduan.


Pohon kemboja tegak merimbun,
Angin berpuput semerbak haruman;
Biar bersama-sama tidak setahun,
Mengukir kasih sedalam perasaan.

Pohon senduduk hidupnya subur,
elok dibuat ubat-ubatan;
Ilmu ditunjuk, salah ditegur,
tersimpan erat dijadi panduan

Kalaupun rebah pohon kenanga,
Rebah menimpa ditampung sanggah;
Kalaupun berubah tempat dan rasa,
Rindu yang ada usah dicanggah.

Kalau tuan mudik ke hilir,
carikan kami buah teratai;
Sudah suratan hidup bergilir,
semoga hasrat akan tercapai.

       Ingin sekali mendedikasikan lirik lagu ini buat Tuan Pengetua, semoga setiap kali lagu ini dikumandangkan, beliau akan selalu ingat akan kami.

Gurindam Jiwa

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.


Anak Cina pasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Jati;
Di dalam hati tidak kulupa,
Sebagai rambut tersimpul mati.

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda;
Bercerai kasih talak tiada,
Seribu tahun bertemu jua


Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman;
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.

Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja:
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga...


      Biarpun sedikit cuma masa yang dipinjamkan buat kami bersama-sama tuan pengetua... pasti menggamit pelbagai rasa dan pasti meninggalkan detik rasa yang sukar digambarkan. 

Anak kedidi anak punai, 
terbang hinggap di atas dahan;
Mungkinkah hasrat akan tertunai,
jika tuan hendak ditahan???



      Jika hidup ini begitu mudah, dan kita boleh mengaturnya sesuka hati kita tanpa ujian, dugaan, cabaran dan pelbagai halangan lagi, tiada akan ada indah dan warna-warna yang cantik melakari kehidupan ini. Maka berkemungkinan kita akan menjadi watak yang statik dan tidak akan ada sebarang perubahan. Begitu juga apabila kita melihat konsep hijrah pada zaman Rasullullah SAW. Hijrah itu membawa perubahan, kejayaan dan kecemerlangan. Begitu juga intihanya, dalam melaksanakan tanggungjawab yang penuh integriti, ada pengorbanan yang perlu dilakukan.

       Sesungguhnya, biarpun kami belum puas untuk menimba pengalaman dan pengetahuan bersama-sama mantan Pengetua Tuan Haji Zainul Ariffien; seterusnya mencipta pelbagai kejayaan dan kecemerlangan yang lebih tekal dan mantap; kami menerima perpindahan beliau dengan ikhlas.  Hal ini juga sama untuk menerima kehadiran Tuan Pengetua yang baharu, Tuan Haji Mohammad Noor bin Ismail seadanya. Kami akan terus memberikan komitmen yang sebaik mungkin kepada beliau dalam menerajui SAMER menjadi sekolah berprestasi tinggi kelak.


         Yang ada akan tiada, yang patah akan tumbuh.. yang pergi akan berganti... adat dan resam hidup yang tidak dapat dielakkan. Lambat atau sekejap bukan ukurannya. Semoga di tempat baharu kelak, Tuan Haji Mohd Zainul Ariffien bin Mohd Jaid akan lebih cemerlang dan berjaya membentuk sebuah sekolah yang melahirkan generasi ulama' yang hebat, insyaAllah. Dan, doakan kami di SAMER akan sentiasa berwawasan untuk menunaikan cita-cita murni yang sama untuk agama, bangsa dan negara... kerana Allah dan untuk kebaikan serta kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Gadis manis leka menekat,
Lapik beradu raja sehari;
Mulakanlah perjalananmu dengan tekad,
inspirasi melahir modal insani..

Bunga Kemboja, bunga kenanga,
Dibuat hiasan melilit sanggul;
Biar di mana sekalipun berada,
Semoga jati dirimu tetap unggul. 

Air nira mayang kelapa, 
Dibuat gula manis sekali;
kami di SAMER usah dilupa,
Tuan akan tetap di hati.

Kami menyusun sepuluh jari,

Memohon ampun salah dan silap;
Terima kasih tuan, nasihat yang diberi,
pasti menyedarkan apa yang khilaf.

Sesama kita bertegur sapa,
ukhuwah terjalin murni di hati;
Walaupun tuan jauh di mata,
Ingatkan kami di sanubari.

Jika hendak pergi mengail,
Jangan lupa membawa raga;
Jika tuan rasa terpanggil,
Kami kan sambut dengan mesra.

Sungai pahang panjang sekali,
Tempat bernaung flora dan fauna;
Bawalah kami di dalam hati,
walaupun tuan ke mana sahaja.



Sederap selangkah rentak kaki,
Tersusun kemas jua sekata;
Bermulanya tuan melangkah pergi,
Semoga kelak dirimu lebih berjaya.

Tuan pergi kami restu,
Membawa visi membangun agama;
Pergi tuan seperti ditentu..
Membawa kebaikan bersama-sama.

Hati sayu melepaskan pergi,
Dipinjamkan masa hanya seketika;
Usahlah kilan simpan di hati,
Ampun dan maaf yang kami pinta.



Banyak rasa di dalam hati,
moga tersusun elok dan rapi;
Jika ada tersalah dan keji,
Moga tidak dibawa pergi.

Hati resah dibuangkan sahaja,
Usah diikut rasa gulana;
Jika tuan ada terasa,
buanglah ia usah bersangka.

Salam dihulur sewaktu tiba,
Salam disambut ketika pergi;
Ukhuwah kita tetap terjaga,
Sungguh indah,erat dan murni.

Pesan diberi untuk nasihat,
Tegur dijalin untuk panduan;
Semoga hidup semakin kuat,
Tetap tabah dalam perjuangan.


SAMER indah dan cemerlang,
Aspirasi terlakar menuju jaya;
terima kasih kami menjulang,
Jasamu tuan dikenang juga.
 
Jika ada rasa yang gundah,
luahkan ia sepuas rasa;
senang berkongsi segala yang indah,
agar kami tidak dilupa.


Jika SAMER masih dikenang,
Doakan kami selalu sejahtera;
Jika kami ini masih disayang,
Moga tautan sentiasa ada.

Jika diturut hati yang duka,
pasti kita tiadakan senang;
teruskan perjuangan wahai ketua,
Jihad yang ikhlas pastikan menang.

Pergimu diiringi doa sejahtera,
semoga perjalananmu lebih selamat;
Biarpun jauh di hujung dunia,
Ukhuwah yang murni pasti berkat..


       Dengan segala rasa rendah hati, kami dalam warga Bidang Bahasa, SAM Rawang; mengucapkan selamat maju jaya dan terus cemerlang membangunkan anak bangsa kerana Allah..

Khamis, 31 Januari 2013

TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KOMSAS

TEKNIK KERUSI PANAS (Hot Sitting)

Definisi:  Merupakan satu teknik dalam latihan asas penghayatan watak dan perwatakan. Teknik ini sering digunakan dalam latihan asas teater untuk membuat justifikasi tentang perwatakan sesuatu peranan yang akan dilakonkan berdasarkan skrip atau improvisasi sesuatu cerita yang akan dipentaskan. Biasanya pelakon akan cuba mengimaginasikan gaya atau aksi watak tersebut dalam semua aspek seperti cara bercakap, berjalan, pemikirannya dan seumpamanya. Pelakon juga dikehendaki mengkaji berkenaan watak contoh tentang umur, gambaran fizikal dan bagaimanakah dia akan bertindak. Dalam aktiviti kerusi panas ini m kita boleh melihat pelbagai aspek pada diri watak yang dikaji berdasarkan teks yang disediakan.

Anda boleh mendapat lebih maklumat berdasarkan petikan yang saya sunting di bawah:

Dipetik daripada :
http://dramaresource.com/strategies/hot-seating
A character is questioned by the group about his or her background, behaviour and motivation. The method may be used for developing a role in the drama lesson or rehearsals, or analysing a play post-performance. Even done without preparation, it is an excellent way of fleshing out a character. Characters may be hot-seated individually, in pairs or small groups. The technique is additionally useful for developing questioning skills with the rest of the group.
Hot Seating Illustration by David Hurtado
How to do it
The traditional approach is for the pupil playing the character to sit on a chair in front of the group (arranged in a semi-circle), although characters may be hot-seated in pairs or groups. It is helpful if the teacher takes on the role of facilitator to guide the questioning in constructive directions.To help students begin you can try hot-seating children in pairs (e.g. a pair of street urchins) or in groups (e.g. environmental protesters, refugees).
If the background of the character is familiar to the pupils, then it may not be necessary for those playing the characters to do much preparation. Although some roles obviously require research you may be surprised at how much detail students can add from their own imaginations. It is important that the rest of the group are primed to ask pertinent questions. Don’t get bogged down in facts during hot seating, but concentrate on personal feelings and observations instead.
Examples
Characters to hot seat include famous people such as Florence Nightingale, President Kennedy or Tutankhamen as well as ordinary people like a chimney sweep, a Roman soldier or a Saxon farmer. Students can be asked to research historical characters with opposing points of view and then be hot-seated by the class as part of a debate.


Langkah ini sangat seronok diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah khususnya untuk pengajaran KOMSAS.

Langkah-langkah :
  1. Guru memilih murid yang akan memainkan peranan watak dalam cerpen, novel atau drama yang dipilih.
  2. Murid yang dipilih dikehendaki duduk di kerusi yang disediakan di hadapan kelas dan menghadap pelajar lain.
  3. Beberapa murid mengemukakan soalan kepada watak yang duduk di hadapan. (contoh : Watak Mak Timah dalam cerpen Pungut alias Zahara, Antologi Dirgahayu Bahasa. Tingkatan 5)                 Soalan : Mengapakah Mak Timah sanggup mengambil Pungut sebagai anak  sedangkan Mak Timah tahu yang Pungut cacat?                           Jawapan : Saya berasa simpati dan kasihan kepada anak yang tidak berdosa itu dan anak saya Khadijah sememangnya mengharapkan seorang adik.
  4. Catatan : Semasa murid bersoaljawab dengan Mak Timah, guru mengawal kelas (pelajar menyoal bergilir-gilir) dan memberhentikan aktiviti apabila cukup masa yang ditetapkan.
  5. Guru merumus watak dan perwatakan Mak Timah.
 
Tunjuk cara perlaksanaan aktiviti kerusi panas.

  1. Guru membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan mengikut keperluan atau kepentingan watak dalam karya.
  2. Setiap kumpulan diberikan tugasan untuk membincangkan watak dan perwatakan. contoh Kumpulan 1 untuk watak Mak Timah, Kumpulan 2 untuk watak Pungut, kumpulan 3 untuk watak Yap Siew Lan, Kumpulan 4 untuk watak Bibik. (Mengikut keperluan objektif dirancang)
  3. Setiap kumpulan juga diminta untuk menyediakan soalan untuk diajukan kepada kumpulan lain;yang memegang watak-watak yang ditetapkan.
  4. Setelah soalan disiapkan, seorang wakil diminta duduk di kerusi di hadapan kelas manakala ahli kumpulan lain yang akan mengajukan soalan kepadanya tentang watak dan perwatakan dan watak di kerusi panas akan menjawabnya secara spontan. Di samping itu ahli kumpulan lain dibenarkan untuk turut menyoal.
  5. Jika pemegang watak tidak dapat menjawab, rakan-rakan dalam kumpulannya tersebut boleh membantu. Ketika ini, rakan yang menonton akan mencatat tentang watak dalam lembaran grafik.

Refleksi :

  • Murid dapat menjelaskan watak dan perwatakan menerusi teknik kerusi panas.
  • Murid dapat menyenaraikan nilai dan pengajaran berserta huraian.
  • Murid dapat menjelaskan tema dan persoalan dalam bahan KOMSAS yang dibaca.

         Aktiviti ini sangat menarik dan akan dapat dilakukan oleh pelajar dengan baik. Aktiviti ini juga membolehkan pelajar memahami sesuatu watak dengan lebih mendalam kerana mereka meletakkan diri mereka sebagai watak yang berkenaan.  Refleksi saya untuk PnP ini membuktikan pelajar dan saya sendiri hampir mengalirkan air mata kerana hadir perasaan sayu dan hiba apabila menghayati perasaan watak yang dimainkan. Sesungguhnya jika kita berada di situasi sebenar, adakalanya kita akan berasakan kita mungkin tidak mampu untuk melalui dugaan dan ujian yang dilalui oleh watak. Pemilihan pelajar yang tepat, apatah jika mereka benar-benar menghayati watak itu akan menjadikan mereka akur dengan kisah dan jalan cerita dalam karya KOMSAS ini.
        Teknik ini juga dapat mengungkapkan jalan cerita atau dikenali sebagai plot dan teknik plot walaupun hanya melihat kepada watak dan perwatakannya. Cubalah teknik ini dalam kelas anda, para pelajar yang pada awalnya mungkin kurang bekerjasama akhirnya akan mengerti dan seronok mempelajari KOMSAS melalui teknik ini. Di samping itu, guru juga berpeluang untuk memberikan motivasi kepada para pelajar untuk menjadi seorang yang mempunyai kebolehan pelbagai dan sentiasa membina diri menjadi seorang yang prihatin kepada banyak aspek di dunia ini. 
      SELAMAT MENCUBA..