Rabu, 13 Jun 2012

Selamat datang Pn.Mastura, Selamat Meneruskan Perjuangan En. Khairuddin..

 Setelah lebih sebulan saya tidak mencatat dalam 
ruangan sesawang Bidang Bahasa ini.. disebabkan kekangan masa yang ada. Dalam tempoh beberapa bulan berlalu ini, ahli-ahli bidang Bahasa berubah. Pada awal tahun lalu Bidang Bahasa menerima orang baru.. dan pada 01 April yang lalu kami kehilangan seorang lagi guru Bahasa Inggeris iaitu En.Khairuddin bin Muda  yang berpindah ke kampung halaman beliau di Terengganu. Beliau meneruskan perjuangan sebagai seorang guru di Sekolah Imtiaz di sana. 
     Kami kehilangan guru yang mempunyai komitmen tinggi kepada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Kami sangat selesa bertugas bersama-sama Encik Khairuddin sepanjang beliau di SAMER. Satu-satu guru lelaki dalam panitia Bahasa Inggeris di SAMER.
        
       Baru hari ini, kami berpeluang mengucapkan selamat datang kepada Puan Mastura bt. Osman menggantikan guru bahasa Inggeris kami ini. 
       
       Selasih ditanam di pinggir taman,
               Tumbuh subur melitupi bumi:
       Pulangnya dia ke kampung halaman,
               Kepada keluarga menabur budi...


Pohon ara tumbuh merendang,
     tempat pujangga mengarang cerita;
kami mengalukan kepada yang datang,
     Semoga hadirmu turut memberi makna.

Pohon kemboja celahan meranti,
     Bunganya harum menghias sanggul...
Diiringi doa buatmu yang pergi,
     Semoga dirimu akan tetap unggul..


Jika hendak memancing ikan,
     sisipkan halua sebagai umpan;
budimu tuan kami kenangkan,
     akan diingat sepanjang jalan..


Pak Mamat ke tanjung memasang bubu,
       Bubu dibuat daripada rotan;
akan diingat jasamu guru, 
       jadi bekalan juga panduan.

Melukut terselit di tepi gantang,
      entahkan tidak mungkin dihirau;
yang datang juga bukanlah calang,
      umpama permata yang berkilau...

Cak cilok at,at,
     cak cilok kucing lompat,
           puisi lama tidak dilupa...
yang jauh semoga rapat,
      yang dekat semakin hebat,
           Semoga berjaya kita bersama.

       Jika diingat-ingat, kami kehilangan sahabat yang hebat... hati kami pasti berasa berat,  melepaskan apatah melupakan menjadikan ralat... doa kami semoga yang pergi akan terus mendapat berkat, sejahtera dan selamat dunia dan akhirat... dan akan terus menjadi teman yang di hati kita tertaut erat.....

       Kala-kala kami menyambut.... yang datang berperibadi lembut.. semoga begitu budinya terturut... dalam perjuangan yang akan sama-sama diikut.. Semoga tautan kasih antara kita terus bertaut.. di hati kita berpaut... semanis senyuman diukir di bibir mulut...

       Sudah menjadi adat dunia.. yang patah tumbuh, yang hilang berganti... pertemuan diikuti sudahnya perpisahan. Semoga Pn Mastura dapat meneruskan perjuangan En. Khairuddin yang kami kagumi itu... Selamat datang dan selamat bertugas di Sekolah Agama Menengah Rawang ini..