Isnin, 17 Disember 2012

BERTEMU DAN BERPISAH ADAT KITA MANUSIA BIASA

        Selamat Bertugas di  tempat baru dan semoga Ustazah dapat mencurahkan bakti yang lebih baik dalam membangunkan ummat yang lebih berkualiti, Insyaallah...
      Tiada ucapan yang dapat kami ungkapkan selain doa agar penghijrahan Pn. Siti Romziah bt. Madong ke SAMT Tengku Ampuan Rahimah, Sg. Manggis, Banting; akan membawa tranformasi yang gilang-gemilang pada masa-masa akan datang, insyaallah. Kami di SAM.Rawang akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kejayaan Ustazah walau di mana pun berada dengan segala rahmat dan keberkatan daripadaNYA,dalam segala usaha ustazah.
     Kami pasti akan merindui ustazah. Jasa baik puan akan sentiasa dikenang dan kami ingati... 

     Melarik batang lintabung,

         sambil melarik mengukir madah;
     walau secarik budi tertanggung,
         sentiasa dikenang sehingga sudah.

     Puas melorek mekar kemboja,

         ukiran indah dijadikan rabung;
     Puas mencantik mesranya rasa,
         di hati kami dikau disanjung.

     Cukuplah sudah menjala ikan,

         cukup dibuat ikan pekasam;
     Sejahtera hidupmu kami doakan,
         Doa dari hati yang paling dalam..       
      
 
     Selamat Bertugas di tempat baru buat Tn.Hj. Mohd Zainul Arifien bin Mohd Jaid. Semoga SAM.Rawang akan lebih cemerlang dan gemilang di bawah pimpinan Al-Fadhil Ustaz pada masa-masa akan datang. Insyaallah.
     
   Kami mengalu-alukan kehadiran Ustaz memimpin dan mentadbir SAM.Rawang ke arah yang lebih gemilang, insyaallah. Setiap yang baharu mungkin masih banyak lagi kekurangan, semoga Ustaz akan dapat menerima kami seadanya..

   Memetik mawar biar sekuntum,

       sungguh indah jika disematkan;
   Ahlan wa sahlan wa  marhaban bikum..
        Kedatangn tuan SAMER alu-alukan.

Burung merpati terbang sekawan,
       Hinggap seekor di pohon meranti;
Pandulah kami menuju keberhasilan,
       Modal insan berakhlak terbentuk menjadi..

Batang selasih permainan budak,
       Budak Inderagiri datang berdagang:
Kebersatuan mencapai ke puncak,
       Misi digalas visi dipegang...

       Semoga pihak Tuan Pengetua akan dapat menerima kami seadanya dengan segala kekurangan yang ada, kelemahan usah dicerca.. yang baik disanjung jangan.. Kami berharap agar dapat menunaikan tanggungjawab bersama-sama tuan  untuk mencapai Visi Sekolah Agama Menengah Rawang, SABK Unggul Penjana Generasi Terbilang, dengan sebaik mungkin. Insyaallah. 
         

Ahad, 14 Oktober 2012

PRINSIP KERJA X-PLUS (Pengurusan dalam Transformasi Pendidikan)

 Tajuk perbincangan saya kali ini ialah PRINSIP KERJA X-PLUS. Walaupun tajuk ini bukanlah tajuk baharu namun saya ingin mengulas dan berkongsi maklumat yang baru sahaja dikumpulkan untuk penulisan kali ini.

       Saya terpanggil untuk meneliti maklumat berkaitan cara pengurusan berkualiti dan akhirnya saya membuat keputusan untuk membincangakan tajuk ini. Walaupun sebenarnya Prinsip kerja ini bersasaran pada tahun 2010-2012 sepertimana perancangan awal namun saya berasakan bahawa prinsip kerja ini sangat relevan untuk tahun-tahun  yang akan datang bersesuaian dengan tujuan asalnya untuk merealisasikan agenda tranformasi Negara iaitu Transformasi melalui pendidikan.

         Setiap pasukan profesionalisme pendidikan dan semua pegawai pendidikan pelbagai peringkat perlu menerapkan budaya prestasi tinggi berasaskan PRINSIP KERJA X-PLUS. Prinsip ini merupakan sesuatu yang perlu ditekankan oleh golongan profesional era GTP(Pelan Transformasi Kerajaan) terutama dalam bidang pendidikan yang sekarang ini menjadikan keutamaan untuk berubah dan dibangunakan; juga berkaitan rapat dengan ETP (Pelan Transformasi Ekonomi). Prinsip ini memaksimumkan impak penyampaian perkhidmatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras tinggi atau cemerlang (Excellence) berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat berpasukan.

        Kepemimpinan sebenar ditonjolkan melalui sikap keikhlasan, jujur, amanah, sidiq dan fatanah dan ciri-ciri kepemimpinan itu seterusnya diperlihatkan atau diterjemah melalui perlakuan kerja dan tindakan termasuk merealisasikan melalui keputusan.

         Prinsip Kerja X-Plus dicetuskan dan dijenamakan oleh Y.Bhg. Tan Sri Abd.Ghaffar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia perlu diamalkan secara berterusan dan diserapkan dalam budaya kerja agar menerajui legasi kecemerlangan KPM yang sentiasa akan meningkat, mantap dan diperteguh secara berterusan. Antara objektif berikut:
1.  Dapat menerapkan budaya prestasi tinggi
2.  Dapat merekayasakan (pengengginer), (penerapan) unsur ilmu dalam perancangan dan
      mekanisma kerja sebagai asas
3.  Dapat meneroka inisiatif (prakarsa) baharu
4.  Dapat menginovasi program bagi melengkapi program berinteraktifkan kecemerlangan
     dan pembangunan

KAYU UKUR KEBERHASILAN KERJA

Prinsip Pertama : CEMERLANG (EXCELLENCE)
     Inilah kayu ukur keberhasilan kerja setiap individu. Cemerlang atau excellence berbeza dengan kualiti. Kualiti bermaksud memenuhi kehendak pelanggan, yakni menepati ketetapan kerja, mematuhi tuntutan perkhidmatan, mengikuti sepenuhnya perencanaan dan strategi, menyempurnakan tugasan pegawai atasan, dan mencapai sasaran kerja tahunan. Walhal cemerlang bermaksud 'go beyond', yakni memenuhi kehendak yang tidak terungkap oleh pelanggan, menangani cabaran yang belum tiba, dan melepasi rekod sedia ada. Cemerlang bermakna melepasi aras kualiti, melepas pencapaian terbaik sebelum ini, mewujudkan aras pencapaian baharu untuk dikejar oleh pesaing.
     Cemerlang dalam konteks berfikir dan meneroka pelbagai pilihan penyelesaian bererti "think the unthinkable" dan "reasson the unreasonable". Halangan kecemerlangan ialah batasan kemahuan dan batasan imaginasi. "Every school is a good school, tiada sekolah kecuali yang terbaik". Inilah tuntutan rakyat kepada Kerajaan dan Kerajaan mengamanahkan tanggungjawab ini kepada jentera pendidikan negara.

Prinsip Kedua : PENGETAHUAN
     Faktor utama produktiviti bukan lagi bilangan pekerja, teknologi dan peruntukan yang banyak, faktor utama produktiviti ialah maklumat dan pengetahuan. Cara bekerja, cara mengajar dan cara mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam era ini bukan lagi sesuatu yang rutin, berulang-ulang dan rigid, tetapi sarat dengan kepelbagaian cara dan gaya, tidak berulang-ulang, mencabar daya upaya setiap orang dalam menggunakan kebijaksanaan, budi bicara, penilaian dan pertimbangan. pemimpin dan pengurus tidak lagi semata-mata mentadbir tetapi memudah cara, menyelaras, dan mempertalikan setiap pasukan kerja dalam organisasi.
       Pemimpin dan pengurus sewajarnya memiliki spektrum (julat atau lingkungan sesuatu perkara) pengetahuan yang luas, berkemahiran menatarkan maklumat yang  dijana oleh setiap pasukan kerja, dan berkemahiran sebagai mediator (perantara atau orang tengah dan moderator.

     Maka urusan memimpin, mengurus, merancang, melaksana dan memantau wajiblah berasaskan pengetahuan (knowledge-based) bukan berpandukan kebiasaan atau mengikut rutin atau memenuhi kepentingan diri sendiri. Demikian juga berfikir, bercakap, menulis dan bertingkah laku hendaklah berasaskan pengetahuan, bukan berpandukan perasaan, emosi, kebiasaan dan ketaksuban. Pekerjaan mendidik, melatih, mengasuh, membimbing, mengajar dan menilai mestilah berdasarkan pengetahuan, bukan kebiasaan atau rutin. (Tahu organisasi transformasi daripada  sistem birokrasi kepada  Adhokrasi)

Prinsip Ketiga : LATIHAN 

     Latihan bermaksud belajar sepanjang hayat untuk mempertajam keupayaan melaksanakan tanggungjawab semasa dan mempersiap keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar. Latihan bermakna bina upaya yang berterusan, bukan sekadar memenuhi ketetapan perkhidmatan. Latihan bererti bersedia untuk berubah, bersedia untuk melaksanakan idea baharu, bersedia untuk menggunakan cara gaya baharu dalam menyempurnakan tanggungjawab, bersedia menjayakan transformasi.

Aspek ini perlu ada 3 unsur:
a.  Unsur latihan yang menjurus kepada tugas dan
     tanggungjawab semasa,
b.  Unsur pendidikan yang bertanggungjawab untuk
     menyediakan anggota profesional pendidikan
     untuk menangani cabaran yang lebih besan dan memikul
     tanggungjawab yang lebih berat pada masa  hadapan
c.  Unsur pembangunan yang bertanggungjawab yang sentiasa bersedia untuk menyediakan
     pendidikan dan pegawai pendidik yang bersedia untuk belajar, sentiasa bersedia untuk
     menerimA dan melaksanakan perubahan, idea baharu serta sentiasa peka

   Inilah cabaran L bahawa hasil akhirnya dengan latihan ini semua pendidikan dan pegawai pendidikan dapat mempamerkan karektor juara perubahan.

Prinsip Keempat : USAHA 

         Usaha berbeza dengan kerja. Usaha bermaksud berikhtiar seupaya mungkin dengan menggunakan pelbagai sudut pemikiran, sumber dan kreativiti dan inovasi demi menyempurnakan misi dan mencapai objektif.
         Usaha bermaksud "go extra mile". Sedangkan 'kerja' bermaksud melaksanakan tugas sebagaimana yang ditetapkan atau diarahkan. Kerja mengutamakan kepatuhan kepada arahan.
      Usaha mengutamakan matlamat dan objektif. Ukuran kerja ialah kecekapan. Ukuran usaha ialah keberkesanan.
 
     Kecukupan USAHA dan KESUNGGUHAN BERIKHTIAR = DAYA FIKIR BERKEMBANG IMAGINASI TERANG, KREATIVITI BERTANDANG MATLAMAT DAN KREATIVITI JADI KENYATAAN       
          Kurikulum  yang ada elok namun gagal untuk melahirkan lulusan dan kreatif kerana TIADA HOT (Higher Order Thinking Skill) (3PM -11 anjakan: anjakan 1 80%). Kita perlu melihat matlamat sukatan pelajaran ialah PEMBELAJARAN KE ARAH KEMAJUAN.

       Guru dan ketua guru perlu melihat sukatan pelajaran dari sudut pembelajaran. Demikian juga matlamat murid menghadiri persekolahan. Murid ingin belajar dan berubah ke arah kemajuan, bukan untuk membantu guru dan ketua guru menghabiskan sukatan pelajaran. Usaha menuntut pendidik dan pegawai pendidikan berfikir. Dengan kecukupan usaha, dengan kesungguhan berikhtiar, daya fikir akan berkembang, imaginasi menjadi terang dan kreativiti akan bertandang - matlamat dan objektif menjadi kenyataan.

       Inilah cabaran U bahawa semua pendidikan dan pegawai pendidikan dapat menghasilkann ukuran kerja mereka iaitu kecekapan dan ukuran usaha melahirkan keberkesanan . Menuntut pegawai berfikir.

Prinsip Kelima : SEPASUKAN
     Sepasukan bermaksud komited kepada nilai, visi, misi dan matlamat organisasi dan mengetepikan kepentingan diri dan perasaan peribadi. Ciri kepimpinan wajib sentiasa terpamer dan dipraktikkan oleh setiap orang. Bekerja semagat sepasukan menuntut kehadiran altruisme dalam pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi. Altruisme menjamin keakraban anggota pasukan kepada misi organisasi dan organisasi pula mampu menjana kesejahteraan kepada setiap anggota kumpulan; yakni menuntut aplikasi kepimpinan pada setiap mata rantai tindakan.

     Tanggungjawab pemimpin sekolah adalah untuk mencegah fenomena "alienated labor", pemencilan guru dan pemencilan pekerja sekolah daripada visi, misi dan objektif kewujudan sekolah sebagai institusi pembelajaran. Bekerja sebagai satu pasukan juga mengizinkan penyuburan pengurusan kendiri atau swaurus (self-management). Individu profesional menerima tanggungjawab dan mengambil inisiatif, mengawal dan memantau pekerjaannya, dan menjadikan pengurus dan peenyelianya sebagai mentor dan fasilitator.

        Sandaran pengurusan kendiri ialah setiap profesional memiliki kompetensi, keyakinan diri dan kebolehan berdikari. Dengan demikian, profesional akan bekerja dengan lebih cekap dan berusaha dengan lebih gigih sekiranya mereka diberikan ruang dan kepercayaan mengurus diri sendiri.
            Cabaran ini mengharapkan  bahawa mematlamatkan semangat sepasukan yang menghasilkan atau menatijahkan kerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan.

            Prinsip Kerja X-PLUS membudayakan sistem kerja yang sangat mudah dipraktik dan berkesan sejajar dengan pemahaman yang telus dalam semua aspek prinsip yang dibincangkan. Unjuran kepada prinsip yang diaplikasi ini memungkin keberhasilan utama negara dalam sistem pendidikan negara akan lebih terserlah dan berjaya melepasi target yang sebenarnya. Kita semua berubah dengan merealisasikan saranan KPPM ini dengan melakukan anjakan paradigma untuk membolehkan pembinaan modal insan berminda kelas pertama dan berpendapatan tinggi pada tahun 2025 kelak. Budaya X-PLUS perlu dibangunankan dalam kalangan profesionalisme iaitu dalam kalangan guru dengan guru dan yang lebih penting adalah antara Guru dan murid. Dalam Prinsip Kerja X-PLUS setiap prinsip digarap dengan baik akan menghasilkan matlamat yang diharapkan.

           Setakat ini perbincangan hari ini yang dapat saya kongsikan bersama-sama dengan para pendidik terutama warga bidang Bahasa Sekolah Agama Menengah Rawang ini agar bermanafaat dan dapat dibudayakan dalam bidang kerja kita bersama.

HJH. NORHASIMAH BT. HJ. HASSAN
GKMP Bahasa 
SAM. Rawang, Sel 

Isnin, 13 Ogos 2012








Assalamualaikum.... Di kesempatan ini, saya bagi pihak semua ahli Bidang Bahasa, Sekolah Agama Menengah Rawang ,Selangor ini ingin mengucapkan  "SELAMAT HARI RAYA 'IDULFITRI" kepada semua pembaca ruangan ini.... Semoga Ramadan yang berlalu itu memberikan kekuatan dan dapat membersihkan diri kita sesuci bayi yang baru lahir dan dapat kita kembali kepada fitrah kita  dengan transformasi diri kepada yang lebih baik, insyaallah... Mohon maaf  zahir batin....

Rabu, 13 Jun 2012

Selamat datang Pn.Mastura, Selamat Meneruskan Perjuangan En. Khairuddin..

 Setelah lebih sebulan saya tidak mencatat dalam 
ruangan sesawang Bidang Bahasa ini.. disebabkan kekangan masa yang ada. Dalam tempoh beberapa bulan berlalu ini, ahli-ahli bidang Bahasa berubah. Pada awal tahun lalu Bidang Bahasa menerima orang baru.. dan pada 01 April yang lalu kami kehilangan seorang lagi guru Bahasa Inggeris iaitu En.Khairuddin bin Muda  yang berpindah ke kampung halaman beliau di Terengganu. Beliau meneruskan perjuangan sebagai seorang guru di Sekolah Imtiaz di sana. 
     Kami kehilangan guru yang mempunyai komitmen tinggi kepada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Kami sangat selesa bertugas bersama-sama Encik Khairuddin sepanjang beliau di SAMER. Satu-satu guru lelaki dalam panitia Bahasa Inggeris di SAMER.
        
       Baru hari ini, kami berpeluang mengucapkan selamat datang kepada Puan Mastura bt. Osman menggantikan guru bahasa Inggeris kami ini. 
       
       Selasih ditanam di pinggir taman,
               Tumbuh subur melitupi bumi:
       Pulangnya dia ke kampung halaman,
               Kepada keluarga menabur budi...


Pohon ara tumbuh merendang,
     tempat pujangga mengarang cerita;
kami mengalukan kepada yang datang,
     Semoga hadirmu turut memberi makna.

Pohon kemboja celahan meranti,
     Bunganya harum menghias sanggul...
Diiringi doa buatmu yang pergi,
     Semoga dirimu akan tetap unggul..


Jika hendak memancing ikan,
     sisipkan halua sebagai umpan;
budimu tuan kami kenangkan,
     akan diingat sepanjang jalan..


Pak Mamat ke tanjung memasang bubu,
       Bubu dibuat daripada rotan;
akan diingat jasamu guru, 
       jadi bekalan juga panduan.

Melukut terselit di tepi gantang,
      entahkan tidak mungkin dihirau;
yang datang juga bukanlah calang,
      umpama permata yang berkilau...

Cak cilok at,at,
     cak cilok kucing lompat,
           puisi lama tidak dilupa...
yang jauh semoga rapat,
      yang dekat semakin hebat,
           Semoga berjaya kita bersama.

       Jika diingat-ingat, kami kehilangan sahabat yang hebat... hati kami pasti berasa berat,  melepaskan apatah melupakan menjadikan ralat... doa kami semoga yang pergi akan terus mendapat berkat, sejahtera dan selamat dunia dan akhirat... dan akan terus menjadi teman yang di hati kita tertaut erat.....

       Kala-kala kami menyambut.... yang datang berperibadi lembut.. semoga begitu budinya terturut... dalam perjuangan yang akan sama-sama diikut.. Semoga tautan kasih antara kita terus bertaut.. di hati kita berpaut... semanis senyuman diukir di bibir mulut...

       Sudah menjadi adat dunia.. yang patah tumbuh, yang hilang berganti... pertemuan diikuti sudahnya perpisahan. Semoga Pn Mastura dapat meneruskan perjuangan En. Khairuddin yang kami kagumi itu... Selamat datang dan selamat bertugas di Sekolah Agama Menengah Rawang ini..
      

Selasa, 21 Februari 2012

Kertas Kerja MBMMBI & MBA

KERTAS KERJA CADANGAN
MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU  MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS /MBMMBI
SEKOLAH AGAMA MENENGAH RAWANG, SELANGOR.


1.0     PENDAHULUAN
           Rentetan pemansuhan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 8 Julai, 2009, maka Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) telah mengambil tempat. Sejak sekian lama, Bahasa Melayu telah dianggap sebagai Lingua Franca dan sesuai menjadi bahasa ilmu serta bahasa perpaduan ke arah melahirkan Negara Bangsa berlandaskan prinsip 1Malaysia. Bahasa Inggeris pula merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang amat perlu dikuasai oleh para pelajar supaya kelak mereka mampu bersaing sama ada di peringkat nasional mahupun global. Justeru Dasar MBMMBI yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah amat relevan dan bertepatan dengan keperluan pembangunan negara pada masa ini dan pada masa akan datang. 

2.0     RASIONAL
         Untuk mengelakkan ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’, maka dasar PPSMI terpaksa dimansuh dan digantikan dengan dasar MBMMBI. Sementelahan pula, didapati tahap penguasaan pelajar dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris masih rendah dan hal ini sangat dipengaruhi oleh faktor latar belakang dan lokasi pelajar itu sendiri. Kekangan-kekangan yang dihadapi dalam mencapai keberkesanan serta kejayaan PPSMI menyerlahkan kepentingan penguasaan  Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang perlu lebih diberikan fokus oleh perlbagai  pihak khususnya kerajaan.

3.0   TEMA
  ‘BAHASA MELAYU DIJUNJUNG, BAHASA INGGERIS DIKENDONG, 
   BAHASA ARAB DIDUKUNG’

4.0   MATLAMAT
4.1  Menjadikan Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
4.2  Meningkatkan penguasaan murid terhadap pelbagai kemahiran seperti membaca, menulis, bertutur, kemahiran tatabahasa, kemahiran meneroka dan mencari maklumat
4.3    Meningkatkan prestasi pelajar dalam peperiksaan awam seperti PMR dan SPM
4.4  Menanamkan kecintaan terhadao bahasa rasmi negara di samping tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris

5.0     OBJEKTIF
5.1   Meningkatkan minat pelajar dalam Pengajaran dan Pembelajaran Komponen Sastera
5.2   Mempelbagaikan aktiviti dalam PnP berpusatkan pelajar/ Akses Sendiri
5.3   Meningkatkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam PnP
5.4   Menekankan asas-asas kemahiran sosial atau kemahiran berbahasa (Back to Basic)

6.0     TARIKH
    Sepanjang sesi persekolahan 2012

7.0     TEMPAT
    Sekolah Agama Menengah Rawang,Selangor

8.0     SASARAN
    Semua pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5
    Semua Guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris , Matematik dan Sains

9.0     KEWANGAN
    Bergantung kepada keperluan program serta aktiviti yang dijalankan. Jika perlu,     
    peruntukan PCG Panitia-panitia yang terlibat akan digunakan.


10.0    TENTATIF PROGRAM
     Sila Rujuk Lampiran

11.0    PENUTUP
           Konklusinya, sebenarnya selama ini pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan oleh Panitia BM dan BI ke arah meningkatkan prestasi pelajar dalam kedua-dua bahasa tersebut. Bezanya kini, segala aktiviti dan program berkanaan diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan Dasar MBMMBI dan sudah semestinya beberapa usaha pemurnian dan penambahan baikan dijalankan agar segala aktiviti dan program yang dirancang mencapai sasaran dan matlamatnya. Menjadi harapan juga agar segala aktiviti dan program yang direncana akan mendapat sokongan dari semua pihak.


SEKIAN, TERIMA KASIH.

Disediakan oleh:


(NORHASIMAH  BT. HASSAN)
Ketua Bidang Bahasa,
Sekolah Agama Menengah Rawang, Sel.


*************************************************************************

KERTAS KERJA CADANGAN
MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU  MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS /MBMMBI
DAN MEMPERKASA BAHASA ARAB
SEKOLAH AGAMA MENENGAH RAWANG, SELANGOR.


1.0      PENDAHULUAN
Sejajar dengan kepentingan perlaksananaan dan keberhasilan yang diharapkan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris MBMMBI yang diperkenalkan oleh kerajaan, pihak sekolah berasakan kepentingan yang sama untuk mempertingkat kecapaian Bahasa Arab dalam kalangan pelajar. Memandangkan Sekolah Agama Menengah Rawang merupakan sekolah yang juga mengajarkan mata pelajaran Al-Azhar dan  berkepentingan untuk mencapai tahap memberangsangkan dalam pencapaian prestasi Akademik, maka adalah wajar untuk memastikan program memperkasa Bahasa Arab diselaraskan seiringan dengan MBMMBI.

2.0     RASIONAL
          Untuk memastikan peningkatan dalam semua pengguasaan semua bahasa yakni Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab setara maka usaha memperkasakan Bahasa Arab perlu dibangunkan bersama-sama. Usaha menyepadukan usaha untuk meningkatkan pencapaian dalam semua penguasaan bahasa dan membentuk modal insan yang fasih dan menguasai kemahiran tatabahasa dalam semua bahasa yang dipelajari di sekolah ini.

3.0   TEMA
    ‘BAHASA MELAYU DIJUNJUNG, BAHASA INGGERIS DIKENDONG, 
    BAHASA ARAB DIDUKUNG’

4.0   MATLAMAT
4.1  Menjadikan Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Arab sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan menarik minat para pelajar.
4.2  Meningkatkan penguasaan murid terhadap pelbagai kemahiran seperti membaca, menulis, bertutur, kemahiran tatabahasa, kemahiran meneroka dan mencari maklumat
4.3   Meningkatkan prestasi pelajar dalam peperiksaan dan dapat berkomunikasi dalam pelbagai situasi
4.4   Menanamkan kecintaan terhadap bahasa rasmi negara di samping tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris dan keutamaan Bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran.

5.0     OBJEKTIF
5.1     Meningkatkan minat pelajar dalam Pembelajaran dan Pembelajaran susunan Bahasa Arab yang indah dan menarik
5.2    Mempelbagaikan aktiviti dalam Pembelajaran dan Pengajaran  berpusatkan pelajar/ Akses Sendiri terutama dalam membanyakkan kosa kata.
5.3   Meningkatkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Arab
5.4    Menekankan asas-asas kemahiran sosial atau kemahiran berbahasa (Back to Basic)

6.0     TARIKH
    Sepanjang sesi persekolahan 2012

7.0     TEMPAT
     Sekolah Agama Menengah Rawang,Selangor


8.0     SASARAN
    Semua pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5
    Semua Guru Bahasa Arab

9.0     KEWANGAN
  Bergantung kepada keperluan program serta aktiviti yang dijalankan. Jika perlu, 
   peruntukan PCG Panitia-panitia yang terlibat akan digunakan.

10.0    TENTATIF PROGRAM
     Sila Rujuk Lampiran

11.0    PENUTUP
           Konklusinya, sebenarnya selama ini pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan oleh Panitia Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab ke arah meningkatkan prestasi pelajar dalam ketiga-tiga bahasa tersebut. Bezanya kini, segala aktiviti dan program berkanaan diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan Dasar MBMMBI & MBA dan sudah semestinya beberapa usaha pemurnian dan penambahan baikan dijalankan agar segala aktiviti dan program yang dirancang mencapai sasaran dan matlamatnya. Menjadi harapan juga agar segala aktiviti dan program yang direncana akan mendapat sokongan dari semua pihak.


SEKIAN, TERIMA KASIH.

Disediakan oleh:


(NORHASIMAH  BT. HASSAN)
Ketua Bidang Bahasa,
Sekolah Agama Menengah Rawang, Sel.

**********************************************************************

JAWATANKUASA MBMMBI & MBA  2012
Sekolah Agama Menengah Rawang,
Batu 16, Jalan Ipoh, 48000 Rawang, Selangor Darul Ehsan.


Pengerusi                   :  Pn. Siti Romziah bt. Madong               (Pengetua)
Timbalan Pengerusi  :  En. Naziri bin Mad Isa                           (Penolong Kanan)
Naib Pengerusi I        :  Pn. Noraini bt. Jasman
Naib Pengerusi II       :  Pn. Harlina bt. Kabol
Penyelaras                  :  Pn. Norhasimah bt. Hassan                (GKMP Bahasa)
                                   :  Pn. Nurul Aduliena bt. Adam                 (GKMP Sains dan Matematik)
Penolong Penyelaras :  En. Mohd Ridzuan bin Ismail              (GKMP Kemanusiaan)
                                     :  Pn. Zawatil Aqmal bt. Othman             (GKMP Teknik Vokasional)
                                     :  Pn. Siti Hajar bt. Khalib                        (GKMP Pendidikan Islam)
                                    :  En. Mohd Sofiuddin bin Daim               (GKMP Al-Azhar)
Setiausaha I                :  Pn. Noraishah bt. Ibrahim                     (KP Bahasa Melayu)
Setiausaha II               :  Pn. Sazlina bt. Sadikon                         (KP Bahasa Inggeris)
Penolong Setiausaha :  Pn. Mariam bt. Suhaili                          (KP Sains)
                                    :  Pn. Nurasyimah bt. Baharuddin             (KP Matematik)
Setiausaha MBA        :  Pn. Ruslina bt. Hamzah                         (KP Bahasa Arab)
Penolong Setiausaha MBA :  En. Ilias bin Dollah                       (KP Bahasa Arab Al-Azhar)
Ahli Jawatankuasa     :  Semua guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, 
                                         Sains, Matematik, Bahasa Arab dan Bahasa Arab  Al-Azhar.

1.        Pengenalan
Strategi Memartabatkan Bahasa Malaysia (BM) melibatkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan dan menengah serta penambahbaikan terhadap pendekatan Pembelajaran dan pan Pengajaran (P&P) agar menjadi lebih menarik dan merangsang minat untuk kecemerlangan berbahasa. Pemansuhan PPSMI perlu dilakukan secara ‘soft-landing’ agar Bahasa Inggeris tetap mendapat keutamaan yang berkepentingan membentuk modal insan yang mantap dan berketrampilan dalam menguasai ilmu melalui kebolehan berbahasa yang baik. Program ini akan dilaksanakan oleh semua warga Sekolah Agama Rawang  yang perlu diberi perhatian dalam menjayakan program MBMMBI ini.
                Selaras dengan usaha yang dilaksanakan KPM di peringkat kebangsaan melalui MBMMBI, pihak sekolah mengambil inisiatif untuk turut menjayakan satu lagi program untuk Memperkasa Bahasa Arab agar boleh bersaing dan dikuasai dengan baik oleh warga sekolah. Hal ini berkepentingan pencapaian yang lebih baik dalam penguasaan Bahasa Arab sama ada dalam persekitaran sekolah mahupun dalam kalangan masyarakat umum.

2.       Definisi MBMMBI
Memartabatkan Bahasa Malaysia(BM) bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagaI bahasa rasmi atau Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. BM juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan; merentas kurikulum berdasarkan Akta Pendidikan 1996. MBMMBI juga merupakan kerangka yang diasaskan untuk mencapai bidang keberhasilan NKRA negara.
          MBA diaplikasi melalui sistem pendidikan sekolah-sekolah aliran agama atas kepentingan penguasaan bahasa Al-Quran dan bahasa yang menjadi wahana kefahaman kepada syariat melalui   Al-Quran dan As-Sunnah. Maka Bahasa Arab tidak boleh dipinggirkan dengan perlaksanaan Dasar MBMMBI ini. Penguasaan ketiga-tiga bahasa ini akan membolehkan kemenjadian modal insane yang relevan dan berketrampilan bahasa yang fasih dalam era globalisasi kini.

3.       Tujuan MBMMBI
Tujuan utama memartabatkan BM adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan Bahasa Kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke  arah membina negara bangsa  untuk mencapat hasrat 1Malaysia yang digagaskan.
            Bahasa Inggeris diperkukuhkan untuk membolehkan penguasaan bahasa kedua negara dikuasai dengan baik oleh masyarakat di Malaysia untuk menghadapi cabaran pada arus perdana kemajuan ilmu dunia.
           Bahasa Arab diperkasa kerana berkepentingan kepada bahasa ilmu untuk berkomunikasi dengan baik dan berkesan, terutama dalam mendalami bidang ilmu yang berkait-rapat dengan kejayaan dunia dan akhirat dalam perspektif Islam.

4.       Rasional perlaksanaan Dasar MBMMBI menggantikan PSSMI
1.1.     Penguasaan pelajar dalam Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Inggeris
1.2.     Pencapaian pelajar dalam  Sains dan Metematik mengikut jenis sekolah.
1.3.     Pencapaian pelajar dalam PPSMI mengikut lokasi yang berbeza dan ketara.
1.4.     Pengguna Bahasa Inggeris oleh guru Sains dan Matematik yang tidak menyeluruh
1.5. Kekeliruan penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang bercampur-aduk
1.6.    Kekeliruan dalam masyarakat yang mengakibatkan jurang komunikasi

Rasional perlaksanaan MBA di peringkat sekolah:
1.1.     Keciciran penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar yang semakin ketara
1.2.  Terpinggir daripada perhatian atau keutamaan masyarakat sekolah walaupun berlatar belakang sekolah yang menitikberatkan penggunaan Bahasa Arab
1.3.  Kepentingan pengguasaan Bahasa Arab di peringkat Peperiksaan Sijil Menengah Agama(SMA) dan SPM


5. Strategi Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris dan Memperkasa Bahasa Arab melalui:
1.1.   Pendekatan P&P ( Bengkel Teknik P&P berkesan)
1.2.   Aktiviti-aktiviti dan Program Khas yang mengkhusus kepada MBMMBI & MBA
1.3. Aktiviti dan program yang melibatkan Panitia Sains dan Matematik dengan menjurus    penggunaan bahasa yang baik
1.4.   Perluasan penggunaan ICT dalam P&P
1.5.  Kerjasama dengan pihak PIBG dan pihak-pihak yang berkaitan dengan MBMMBI & MBA serta NGO


6.       Aktiviti  :
1)      Projek Am (semua Panitia terlibat)
a.       Projek Bicara Deejay Anda 
-   Masa antara jam 3.00 hingga 3.25 petang
-  Tentang isu-isu tertentu seperti peribahasa dan maksud, atau kata-kata hikmah
-   Memberikan nasihat dan panduan.
-   Mengingatkan peristiwa penting
-   Menggunakan bahasa mengikuti hari yang ditentukan contoh Isnin dan Selasa, DJ akan menggunakan Bahasa Melayu, Rabu dan khamis Bahasa Inggeris dan Jumaat bahasa Arab
-   Membacakan pantun
-   Mengupas isu semasa

b.       Pentas Moderator
-     Berkonsepkan program realiti
-     Dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa Kubuku Buku atau persatuan
-     Diadakan setiap hari sabtu tidak balik ke rumah untuk pelajar asrama
-    Diadili ikut sistem yang diatur sama ada berdasar undian atau hanya markah juri yang terdiri daripada guru-guru mengikut keperluan minggu
- 1 aktiviti terancang dan satu aktiviti spontan mudah seperti bercerita, lengkapkan ceritaku
c.       Penulisan Karya kreatif bertema

2)       Panitia Bahasa Melayu
a.  Minggu Bahasa Malaysia (Permainan Bahasa dan Pertandingan Bahasa)
b.  Sehari sepotong ayat
c.  Pojok peribahasa – peribahasa di papan kenyataan
d.  Sudut kata dan sudut Bahasa Melayu (Maklumat di papan kenyataan kelas)
e.   Kursus dan bengkel Komsas untuk guru-guru Bahasa Melayu
f.   Persembahan Teknik P&P berkesan – untuk dipertontonkan kepada semua guru bahasa (Guru kepada kumpulan guru, kumpulan pelajar kepada kumpulan guru, hasil kerja terbaik kumpulan pelajar kepada warga sekolah – persembahan mega tentang sesuatu isu)
g.  Pertandingan koakademik antara persatuan-persatuan atau antara ahli persatuan (pada waktu persatuan Bahasa Melayu)
h.  Ulasan buku dan Nilam (Persembahan pelajar pada waktu ditetapkan dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah)
i.    Penghasilan buku skrap
j.    Penghasilan komik berdialog Bahasa Melayu
k.   Deskripsi minda ( 5 minit berbicara – awal sesi pembelajaran)
l.   Satu waktu berperibahasa (dalam kelas /P&P guru atau pelajar menyenaraikan sekurang-kurang satu peribahasa)
m. Kembara kata (menjelajah kamus – sekurang-kurang sebulan sekali ke Pusat Sumber untuk mencari makna kata dan kata banyak makna)
n.  Program yang molek itu budi, yang indah itu bahasa (surat untuk guru bahasa anda : surat mengikut format dan menggunakan kaedah penulisan yang betul serta bahasa yang indah. Beri penghargaan dalam kelas atau guru balas surat itu)
o. Jom berbengkel ( Pembinaan modul grafik  novel dan bahan Komsas dalam Lukisan – pelajar dan guru menggunakan  ICT)
p.   Buku skrap (ADD & MDK – dengan kerjasama Pusat Sumber dan ICT)
q.   Pertandingan-pertandingan koakademik (Peringkat sekolah/Kamil/MTQ/IPA)
·         Pertandingan Pantun
·         Pertandingan Bahas
·         Pertandingan Forum
·         Pidato
·         Ulasan filem
·         Pertandingan Mencipta dan mendeklamasi sajak
·         Pertandingan Penulisan Esei
·         Menghasilkan karya untuk majalah sekolah

r.        Aktiviti Kelas Intervensi/ klinik Bahasa
·         Menyebut dan melagukan puisi (menggunakan lirik lagu yang dipilih)
·         Mari bernasyid (Mengkaji lirik nasyid dan memberikan kritikan bernas)
·         Sehari sepatah kata – Terjemahan ayat daripada Program OPAD
·         Mari kita bercerita dan berlakon
·         Memadan gambar dan benda
·         Memadankan peribahasa (Simpulan Bahasa diutamakan) dan makna
·         Minggu bersama mentor bahasa anda
·         Permainan bahasa (sahiba)

3)      Aktiviti Panitia Bahasa Inggeris
a.    Minggu Bahasa Inggeris
b.    OPAD (one pharas a day)
c.    Bacaan doa pagi dan balik dalam Bahasa Inggeris
d.    Pertandingan Choral Speaking
e.    Thursday is English Day
f.     Bunyikan kata ( Pronouns the words)
g.    Enjoy 3D (Decide,Describe, Deduce)
h.    Writing Practice
i.     Pertandingan menulis karya kreatif untuk majalah
j.     Pertandingan menulis esei Bahasa Inggeris
k.    Sudut Bahasa Inggeris (Setiap kelas)
l.   Sweet Letter (Peti surat untuk surat pelajar untuk meluah rasa dan pendapat menggunakan  bahasa Inggeris kepada guru).
m.   Piramid kata / Akar kata
n.    Pertandingan menulis karya kartun dengan dialog bahasa Inggeris
o.    Pertandingan koakademik
·         Debate
·         Story Telling

p.      Intervensi
i.    Kelas Klinik Bahasa
ii.   My Nice Mentor
iii.  Celik grammar
iv.  Spelling with Shahiba
v.   Kuiz (memberi maksud kata)

4)      Aktiviti panitia Matematik
a. Kuiz Matematik ( soalan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang gramatis)
b.   Mencari Harta Karun (arahan dan soalan dalam Bahasa Inggeris)
c.   Permainan matematik Theorem Pythagoras dan susunan nombor Fibomacci
d.   Mencari maklumat biografi ahli matematik daripada Pusat Sumber
e.   Permainan Sudoku
f.    Minggu Matematik
g.   Teka Muka Surat Buku
h.    Teka harga hamper
i.     Simulasi  Pasar harian (dalam kelas dan persatuan – latihan mengira sepontan)
j.   Pertandingan Simulasi Pasar Raya (mengumpul barang mengikut harga yang diberikan)

5)      Aktiviti Panitia Sains
a.  Menulis esei sains dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu (boleh dimuatkan dalam majalah sekolah)
b.  Mencari maklumat mengenai ahli sains yang terkenal daripada Pusat Sumber dan menghasil biografi  dalam bentuk grafik
c.  Mencari harta karun (arahan dan soalan) dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang gramatis
d. Rekacipta /Kitar semula bahan terbuang (tulis bahan dan kaedah untuk menghuraikan kepentingan bahan terhasil)
e.   Minggu Sains
f.    Lakonan Sains
g.   Laporan ujikaji / demonstari proses ujikaji (dalam kelas oleh pelajar)
h.  Pertandingan merekacipta ( manual penggunaan atau broshur tentang hasil rekacipta)
i.     Bicara sains (info sains di papan kenyataan di makmal sains)

6)      Panitia Sejarah
a.    Menulis sajak patriotik sempena Bulan Kemerdekaan
b.    Mendeklamasi sajak patriotic
c.    Kuiz Sejarah
d.    Minggu Sejarah
e.    Penghasilan kad info (mengikut tajuk)
f.   Mencari dan menulis semula biografi tokoh sejarah (sama ada dalam bentuk esei atau grafik)
g. Menyediakan bahan grafik ICT tajuk-tajuk penting (menggunakan ejaan yang betul)
h. Laman Diskusi (Pertandingan bercerita tentang tokoh atau sejarah sesuatu tempat)
i.   Apa ada pada masa? (Menyusun maklumat berdasarkan tahun dan kejadian)

7)      Panitia Geografi
a.       Membuat model pelan atau peta
b.      Rumah cuaca bermaklumat
c.       Simbol dan tanda
d.      Apa ada pada di tempat itu (Menyatakan keistimewaan melalui nama tempat)
e.      Kuiz   (Soalan dalam bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu yang baik
f.        Mencari harta karun (Persatuan)
g.       Ekspedisi Minda

8)      Panitia Kemahiran Hidup
a.  Pertandingan rekacipta (Penerangan produk menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang baik)
b. Pertandingan Memasak ( Penghasilan Menu yang menarik menggunakan ayat yang gramatis)
c. Aktiviti ‘Top-host’ (dalam persatuan – pengacara diwajibkan menggunakan bahasa yang baik dalam penentuan markah)
d.  Huraian Produk
e.  Menulis akuan aktiviti dengan format dan ayat yang baik
f.   Kuiz KHB
g.  Mengenal dan meneka alat – Aktiviti ‘Siapa Saya’. (soalan dalam ayat lengkap)


9)      Panitia Pendidikan Islam
a.  Kenali Tokoh Islam (Biografi Tokoh)
b.  Kata-kata hikmah daripada tokoh Islam (Dikumpul dan dibukukan)
c.  Menulis syarahan agama (Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Arab)
d. Pertandingan menulis cerita motivasi Islam (untuk dimuatkan dalam majalah sekolah)
e.  Doa senjata ampuh ( Menyediakan kad-kad doa terjemahan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris)
f.   Kad penanda Buku dengan tulisan khat dan kata-kata hukamah (persatuan)
g. Mengimmarah hari-hari kebesaran Islam menggunakan dwi-bahasa atau Bahasa Arab
·  Kad-kad ucapan
·  Banting atau banner
· Peta minda sejarah hari kebesaran (di’laminate’ dan diletakkan di papan kenyataan    umum seperti kantin)
·  Risalah fadhilat hari-hari kebesaran (dijilidkan dan diletakkan di Pusat Sumber)

10)   Panitia Bahasa Arab
a.       Pertandingan menulis esei dalam bahasa Arab tentang Tokoh atau peristiwa penting
b.      Penulisan dialog Hiwar
c.       Pertandingan menulis lirik musamarah
d.      Pertandingan menulis dialog karya kartun
e.      Pertandingan menulis esei pendek
f.        Menghasil karya untuk majalah
g.       Kembara Bahasa
h.      Pertandingan bercerita
i.        Mereka lirik nasyid
j.        Pertandingan koakademik
·         Bahas
·         Syarahan
·         Kuiz
·         Musamarah
·         Forum 

7.       Manfaat
1.  Melahirkan warga Malaysia yang fasih dan yakin menggunakan BM dan BI standard malah Bahasa Arab dalam perbualan, urusan rasmi, penerokaan ilmu dan dalam alam kerjaya mengikut kesesuaian dan keperluan.
2.   Membina modal insan yang mampu mengakses pelbagai bidang ilmu melalui pelbagai media seperti teknologi Komunikasa maklumat (ICT) serta mempunyai minda kreatif, kritis dan inovatif.
3.  Membentuk 1 Malaysia yang mempunyai jati diri yang kuat, progresif, dinamik, mampu bersaing di peringkat antarabangsa  ke  arah mencapai negara maju, gemilang  dan terbilang.

8.  Penutup
Kerajaan telah menawarkan pendekatan baharu dalam pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Kerajaan percaya dengan pendekatan baharu ini kita akaan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memperkukuh Bahasa Inggeris dan memperkasa Bahasa  Arab, dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai sains dan teknologi yang amat penting untuk masa depan  negara.


Disediakan oleh :                         Disemak oleh:                               Disahkan oleh:

Pn. Norhasimah bt. Hassan    En. Naziri bin Mad Isa           Pn. Siti Romziah bt. Madong
 GKMP Bahasa                           Penolong Kanan                               Pengetua.